Berita Utama

Henti eksport takkan selesai masalah bekalan ayam

Lebih 50 ladang terpaksa gulung tikar tak mampu tanggung kerugian

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Syawal 1443H, Khamis – Langkah kerajaan menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam selama sebulan tidak akan mampu menyelesaikan masalah kekurangan bekalan ayam di negara ini.

Ini kerana, masalah utama yang dihadapi sekarang adalah bekalan anak ayam sangat terhad menyebabkan pengeluaran ayam menjadi berkurangan.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, soal eksport itu terlalu jauh kerana isunya kita berdepan dengan masalah bekalan ayam.

Inilah yang menyebabkan keperluan pasaran di negara tempatan terjejas, katanya.

“Penternak kini berdepan masalah bekalan yang kritikal bukan saja menjejaskan penternak kecil tetapi juga melibatkan penternakan di ladang bersaiz besar.

“Saya tidak lihat henti eksport langkah tepat dalam nak selesaikan perkara ini, lebih baik kita cari solusi untuk dapatkan bekalan ayam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi, Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan akan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran bekalan makanan itu kembali stabil.

Perkara itu antara beberapa ketetapan pihak kerajaan sebagai langkah jangka pendek terhadap isu bekalan serta harga ayam di Malaysia.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, setiap hari pihaknya berdepan rungutan penternak mengenai kekurangan bekalan.

“Buat masa ini bukan soal harga yang mahal tetapi semua penternak berdepan masalah ketiadaan bekalan ayam.

“Perkara ini sekiranya berlanjutan bukan sahaja memberi kesan kepada semua penternak tetapi menjejaskan krisis rantaian makanan yang serius di negara kita,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap pemberian subsidi yang dijanjikan kerajaan disegerakan supaya dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Sejak Februari lagi kami setia menunggu namun masih tiada jawapan, sekiranya berpanjangan tidak mustahil bidang penternakan akan pupus,” katanya.

Katanya, sehingga kini lebih 50 ladang ayam dan telur di seluruh negara terpaksa gulung tikar berikutan tidak mampu menanggung kerugian yang semakin banyak setiap hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button