Berita Utama

Lebih 1,000 kekosongan jemaah haji tolak tawaran sudah penuh

Keutamaan untuk mereka yang disenarai pada 2020 dan 2021

JOHOR BAHRU, 25 Syawal 1443H, Khamis  – Lebih 1,000 kekosongan tempat untuk jemaah haji yang menolak tawaran disebabkan pelbagai faktor, termasuk masalah kesihatan sudah dipenuhkan setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, kekosongan itu telah diberikan keutamaan kepada mereka yang telah disenaraikan untuk mengerjakan ibadah haji pada 2020 dan 2021.

“Ia (kemas kini senarai jemaah haji) berjalan setiap hari, kalau ada yang kosong maknanya kita akan ikut senarai menunggu dan masukkan nama-nama jemaah mengikut urutan.

“Bagi peringkat pertama ini 1,000 orang telah menolak, maka kita masukkanlah dan sekarang ini sudah penuh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia akan berlepas melalui penerbangan pertamanya pada 4 Jun ini.

Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Berhubung MTHQK yang akan berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor bermula 9 hingga 18 Jun ini, Idris berkata program itu akan disertai seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan majlis pembukaan pada 12 Jun, manakala majlis penutup dan pengurniaan hadiah pada 17 Jun akan disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

MTHQK merupakan program tahunan yang dianjurkan kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 1979 bertujuan meninggikan syiar Islam di Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button