Berita Utama

Masalah kesesakan makin teruk selepas COVID-19

Ramai bimbang risiko dijangkiti jika guna pengangkutan awam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Syawal 1443H, Khamis – Kebimbangan terhadap wabak pandemik COVID-19 antara faktor pertambahan jumlah kenderaan sehingga mengakibatkan kesesakan, khususnya di lebuh raya utama di ibu negara.

Ramai pengguna yang sebelum ini menggunakan pengangkutan awam mungkin beralih memandu kenderaan sendiri kerana bimbang risiko dijangkiti wabak.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, kebimbangan terhadap COVID-19 menjadi antara faktor orang ramai memilih menaiki kenderaan peribadi berbanding menggunakan bas, transit aliran ringat (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

“Dan ia bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia banyak artikel yang menyatakan keadaan sama, sebagai contoh di London juga alami masalah sama.

“Apabila ada sebahagian yang risau dengan wabak, mungkin mereka memilih memandu kenderaan sendiri dengan menaiki motor atau beli kereta kecil. Itulah kita nampak kenapa kesesakan bertambah selepas COVID-19,” katanya.

Dr Teik Hua mengakui isu kesesakan jalan raya khususnya di ibu kota bukanlah perkara baharu, namun keadaan itu dilihat semakin kritikal, apatah lagi selepas pandemik COVID-19 melanda negara.

Katanya, situasi kesesakan yang melanda negara kini jauh berbeza berbanding dahulu, di mana tempoh peningkatan trafik berlaku meskipun bukan pada waktu puncak.

“Berbanding Singapura, kita di sini mahu memiliki kenderaan adalah lebih senang dan harganya bukan mahal sangat, malah bagi rakyat Malaysia pula kita nampak kereta sebagai harta seperti rumah.

“Selain itu, petrol kita juga tidak mahal, dan keduanya kita mempunyai banyak lebuh raya. Itu pun satu masalah,” katanya.

Beliau berkata, bagi negara-negara maju seperti London dan Perancis, mereka sudah menetapkan untuk tidak bergantung dengan kenderaan peribadi, sebaliknya memilih untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Maka, kerajaan mereka meletakkan polisi ke arah hala tuju itu. Tetapi di sini, kita ada MRT dan melabur berbilion ringgit untuk pengangkutan awam, namun pada masa sama kita terus membina city highway.

“Maka mana hala tuju kita? Car oriented atau public transport city? Kerajaan tambah highway seolah-olah galakkan orang memandu ke pusat bandar.

“Tetapi dari sudut lain kerajaan melabur berbilion ringgit buat MRT, LRT. Maka dua polisi itu seolah-olah bertentangan,” katanya.

Pautan Dimensi;

https://fb.watch/dfguCxfh_E/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button