Penyokong Imran Khan berarak tuntut pilihan raya baharu
Desak umum tarikh pembubaran Kabinet

ISLAMABAD,25 Syawal 1443H, Khamis – Polis Pakistan terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah ribuan penyokong bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Imran Khan bagi menghalang mereka sampai ke bandar bagi menuntut pilihan raya diadakan semula.
Krisis politik dan ekonomi di negara Asia Selatan itu berlaku menjelang pengumuman dana Tabung Kewangan Dunia (IMF) sama ada meluluskan bantuan pakej sebanyak AS6 bilion.
Bulan lalu, Imran yang digulingkan daripada pemerintahan menggesa penyokongnya berarak ke Islamabad dan kekal di bandar raya itu sehingga kerajaan baharu mengumumkan pilihan raya.
Kesemua laluan masuk dan keluar ke Islamabad disekat termasuk kawasan penting seperti Parlimen, pejabat-pejabat kerajaan dan misi diplomatik.
Malah semua laluan masuk dan keluar juga dihalang di semua bandar di wilayah Punjab dan lebuh raya paling besar di negara tersebut, Grand Trunk Road (GTR).
“Tiada sekatan boleh menghalang kami dan akan teruskan perjalanan ke Islamabad sehingga tarikh pembubaran Kabinet diumumkan,” kata Imran yang dalam perjalanan ke Islamabad dari Peshawar.
Sementara itu, rakaman televisyen tempatan menunjukkan pasukan keselamatan bertempur dengan penyokong Imran dan memaksa mereka menahan penyokong yang bertindak agresif.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Amjad Malik berkata, tiada kemalangan maut dilaporkan dalam pertempuran berkenaan dan kebanyakan kejadian berlaku di Punjab.
Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah pula berkata, polis telah menahan 4,417 penyokong Imran dan 250 daripada mereka telah dibebaskan selepas mengemukakan afidavit menyatakan tidak terlibat dalam perhimpunan haram sebelum ini. – Agensi