Berita Utama

Tiada kesungguhan pemimpin punca usaha martabat bahasa Melayu gagal

Minda orang Melayu perlu direvolusi supaya lihat bahasa Melayu punya nilai tinggi

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Syawal 1443H, Khamis – Tiada kesungguhan daripada pemimpin utama menjadi sebab usaha memartabatkan bahasa Melayu dilihat sendu umpama hidup segan mati tak mahu.

Aktivitis bahasa, Datuk Dr Firdaus Abdullah melihat, sikap acuh tak acuh itu menyebabkan kerja-kerja memartabatkan bahasa kebangsaan didukung pejuang bahasa dan pencinta tanah air sahaja.

“Malangnya sejak dari zaman Tun Dr Mahathir diikuti pemerintahan Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak semuanya tidak mengembangkan penggunaan bahasa Melayu dan meletakkan di kedudukan yang sewajarnya.

“Mungkin pemimpin kita melihat dan menganggap bahasa Melayu sebagai kurang penting sedangkan ini adalah bahasa kebangsaan yang perlu didaulatkan demi masa depan negara.

“Tidak mustahil sekiranya dibiarkan anak Melayu di masa akan datang tidak tahu menggunakan bahasa kebangsaan berikutan terlalu mengagungkan bahasa penjajah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Profesor Antropologi Sosial, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Sarjit Singh berkata, masa depan bahasa Melayu dan peranannya sebagai bahasa ilmu akan terancam dan mungkin lenyap sekiranya universiti awam (UA) terus memperlekeh serta menolak penggunaannya secara meluas.

Malah beliau berpendapat, martabat bahasa Melayu perlu diangkat di universiti terlebih dahulu jika mahu memajukannya.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, usaha kini perlu digembleng bagi merevolusikan minda orang Melayu supaya menyedari bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai yang tinggi.

“Sekiranya tidak melakukan dengan serius dan bersunguh-sungguh usaha ini tidak membawa kejayaan dan hanya dijadikan usaha yang sia-sia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button