Berita Utama

Tun M jumpa Muhyiddin bincang Proklamasi Orang Melayu

Semangat baru untuk pacu agenda, kuatkan kedudukan anak bangsa

BANGI, 16 Zulhijjah 1444H, Rabu – Selepas tiga tahun tidak bersua muka, kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya berdamai dalam pertemuan hampir dua jam, semalam.

Pertemuan berkenaan dibuat bagi menjalin kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu yang berlangsung di kediaman Dr mahathir di Seri kembangan.

Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, penyatuan dua tokoh pemimpin Melayu itu akan memberi semangat baharu kepada gerakan Proklamasi Orang Melayu bagi memacu agenda serta menguatkan kedudukan anak bangsa.

Ia juga membuktikan manifestasi penyatuan Melayu diusahakan Mahathir mendapat sambutan dari pelbagai pihak walaupun berlainan ideologi, katanya.

“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang Melayu yang perlukan penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” katanya dalam kenyataan.

26 Jun lalu, Dr Mahathir menyuarakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pagoh itu bagi menjelaskan isu membabitkan orang Melayu secara keseluruhan.

Dr Mahathir berkata, Proklamasi itu memberi sokongan kepada Melayu secara menyeluruh kerana pihaknya melihat kaum itu seperti hilang kawalan sepenuhnya terhadap negara ini dan mereka akan terseksa jika tidak boleh berkata apa-apa untuk negara ini.

Sebelum ini, Proklamasi Orang Melayu yang diilhamkan Dr Mahathir mendapat sambutan yang amat luar biasa dari keseluruhan orang Melayu di seluruh pelusuk tanahair.

Gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana individu Melayu yang bersemangat untuk menyatu tanpa mengira fahaman ideologi politik.

“Kita hanya ingin membicarakan mengenai setiap permasalahan melayu serta menyelesaikannya berteraskan ‘hak-hak’ orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button