Bina lebuh raya baharu hanya galak pertambahan kenderaan
Syor kurangkan jumlah, naik harga tempat letak kenderaan

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Langkah pembinaan lebuh raya baharu bukanlah penyelesaian tuntas dalam menangani masalah kesesakan yang berlaku di pusat bandar raya.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, pembinaan lebih banyak lebuh raya hanya menggalakkan pertambahan kenderaan kerana ia seperti satu faktor merangsang pengguna.
Beliau berkata, keadaan itu akhirnya akan mengembalikan negara kepada masalah kesesakan yang berterusan untuk tempoh jangka panjang.
“Kita mempunyai dua cara untuk menyelesaikan masalah iaitu menukar corak perjalanan atau menukar tingkah laku pengguna jalan raya.
“Kita boleh rancang supaya bukan setiap hari kita perlu ke pusat bandar raya. Bolehkah ada industri tertentu yang membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah,” katanya dalam rancangan Dimensi di TV Pertiwi, malam tadi.
Beliau berkata, antara langkah lain yang boleh membantu mengurangkan kesesakan adalah dengan menggalakkan orang ramai tidak memandu ke pusat bandar raya menerusi pengurangan jumlah tempat letak kenderaan.
“Kita boleh mengurangkan bilangan tempat letak kenderaan atau menaikkan bayaran parking kereta. Namun adakah kerajaan sanggup buat demikian?
“Kerana apabila ia dilaksanakan, mesti langkah kerajaan itu dikutuk oleh orang ramai. Tetapi bagi saya ini adalah transisi dan satu proses,” katanya.
Dr Law berkata, jika kerajaan mampu menangani proses itu, tidak mustahil pengguna akan kurang memilih untuk memandu kenderaan sendiri ke pusat bandar.
“Sebab itu kita mengharapkan kerajaan bertegas untuk selesaikan masalah ini. Kita boleh gunakan peluang ini. Semua lihat ramai yang menjadi mangsa kesesakan jalan raya sehingga dua ke tiga jam.
“Jika kita tidak membuat sesuatu, kita akan sama kekal atau makin teruk (berdepan isu kesesakan ini),” katanya.