Dunia

Doktor, jururawat Lubnan mogok 2 hari depan Bank Negara

Hanya kes kecemasan, pesakit dialisis dimasuk ke hospital

BEIRUT, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Puluhan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan Lubnan berhimpun di luar Bank Negara di sini semalam, selepas mengisytiharkan mogok selama dua hari sebagai protes terhadap keadaan ekonomi yang semakin merosot.

Mogok itu diisytiharkan dua kesatuan profesional perubatan – The Syndicates of Doctors in Beirut and The North and The Syndicate of Private Hospital Owners – yang membantah polisi Bank Negara kerana membenarkan bank mengenakan kawalan modal rawak serta sekatan lain.

Ketika mogok – yang berakhir pada Jumaat – hanya kes kecemasan dan pesakit dialisis akan dimasukkan ke hospital, kata kesatuan sekerja.

Sektor perubatan Lubnan, sehingga beberapa tahun lalu adalah yang terbaik di Timur Tengah, namun kini berada di ambang kelumpuhan akibat kegawatan ekonomi dan krisis kewangan negara itu.

Krisis yang bermula pada Oktober 2019 telah menyaksikan mata wang tempatan kehilangan lebih 90 peratus nilainya kepada dolar.

Konflik itu menyebabkan penghijrahan ribuan doktor dan jururawat serta penutupan sejumlah besar farmasi, selain berdepan kekurangan bekalan ubat dan peralatan perubatan.

Sebilangan hospital juga telah memberi amaran bahawa terpaksa menutup operasi kerana tidak lagi mampu menampung kos perbelanjaan dan membayar gaji pekerja.

Rata-rata pemain industri kesihatan menyalahkan dasar bank pusat kerana memusnahkan sektor berkenaan.

Sementara itu, paun Lubnan terus mencecah paras terendah baharu berbanding dolar.

Mata wang Lubnan ditambat pada 1,500 paun kepada dolar selama 22 tahun sehingga krisis meletus pada akhir 2019. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button