Berita UtamaDunia

Keputusan Raja Bahrain tukar gelaran diraja undang kecaman

Tuntut guna gelaran ‘Yang Teramat Mulia’ dalam semua urusan

MANAMA, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa telah mengarahkan gelaran dirajanya ditukar daripada ‘Baginda’ kepada ‘Baginda Yang Teramat Mulia’ dalam satu tindakan yang mendapat kecaman dan cemuhan pengguna media sosial.

Mahkamah diraja negara Arab itu dilaporkan menghantar pekeliling melalui Kementerian Maklumat kepada saluran berita tempatan, mengarahkan mereka menggunakan gelaran baharu tersebut dalam laporan serta ucapan rasmi termasuk surat-menyurat.

“Sila pakai nama berikut untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan pinda berita yang diterima dalam akhbar anda hari ini: Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Negara Besar, semoga Allah melindunginya,” tulis notis itu.

Arahan menukar gelaran diraja telah membawa kepada tindak balas dahsyat di media sosial, dengan kritikan dan penghinaan bertubi-tubi daripada aktivis yang melihat tindakan itu sebagai memalukan diri sendiri.

“Dunia merancang (untuk pergi) melangkaui bulan, Marikh dan Musytari dan rejim Hamad mencipta topik baharu yang akan mengurangkan semua masalah Bahrain dan krisis politik dan ekonominya,” tulis seorang aktivis, Latifa al-Husseini dalam ciapan di laman Twitter.

“Mungkin boleh dikatakan secara sinis bahawa masalah negara dan rakyat di Bahrain telah selesai untuk selama-lamanya, dan ada seorang genius yang berkuasa yang dibimbing untuk menyelesaikan semua ini dengan satu catitan pena berikutan notis itu,” kata seorang lagi aktivis, Yusuf al-Jamri.

Sebelum ini juga Raja Hamad pernah meminda gelaran dirajanya.

Raja berusia 72 tahun itu memerintah Bahrain sejak 1999 sebelum diisytiharkan sebagai raja berperlembagaan Islam pada 2011, satu keputusan yang memberikannya status raja, bukannya emir.

Rejim Al Khalifah Bahrain telah lama dikritik oleh kumpulan hak asasi global kerana rekod hak asasi manusia yang teruk, melakukan  penindasan kejam serta pembunuhan aktivis pro-demokrasi.

Negara ini telah menyaksikan demonstrasi secara berkala sejak pemberontakan popular bermula pada pertengahan Februari 2011.

Majoriti penduduk di Bahrain menuntut kepada rejim Al Khalifah melepaskan kuasa dan membenarkan penubuhan sistem yang adil serta luas mewakili semua rakyat.

Manama, walau bagaimanapun, telah berusaha keras untuk mengekang sebarang tanda perbezaan pendapat.

Pada Jun 2016, rejim Bahrain membatalkan kerakyatan Ayatollah Sheikh Isa Qassim, seorang ulama terkemuka Bahrain pro-demokrasi, menyebabkan protes di seluruh negara.

Bahrain adalah salah satu negara Arab yang menandatangani perjanjian normalisasi diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan negara haram Israel, dengan Iran dan negara Islam lain menyebutnya sebagai ‘tindakan memalukan’. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button