Dunia

Kes cacar monyet terus dilaporkan di Sepanyol, Kanada, AS

Semua alami 'gejala ringan' jalani kuarantin di rumah

MADRID, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Jumlah kes cacar monyet di Sepanyol meningkat kepada 84 pada Khamis selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 25 lagi kes baharu.

Menurut kementerian, semua yang dijangkiti mengalami “gejala ringan” dan kini menjalani kuarantin di rumah.

Majoriti kes dilaporkan di Madrid selain di Kepulauan Canary, Basque dan Andalusia, lapor Xinhua.

Sementara itu di Kanada, Agensi Kesihatan Awam mengesahkan 10 lagi kes cacar monyet dilaporkan.

Menurut PHAC sebelum ini 16 kes telah dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 26 kes.

“Kemungkinan kes akan meningkat dalam beberapa hari akan datang memandangkan Makmal Mikrobiologi PHAC terus menerima sampel untuk diuji,” menurut PHAC dalam satu kenyataan.

Di Amerika Syarikat pula sembilan kes cacar monyet disahkan di tujuh negeri, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sembilan kes itu dikesan di California, Florida, Massachusetts, New York, Utah, Virginia dan Washington.

Kes cacar monyet yang menjangkiti manusia kini sudah dilaporkan di lebih 20 negara di dunia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button