Dunia

Mahkamah Perancis tangguh kebenaran burkini di kolam awam

Penggantungan peraturan berkuat kuasa pada 1 Jun ini

PARIS, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Mahkamah Perancis menggantung keputusan Majlis Perbandaran Grenoble untuk membenarkan wanita Islam memakai burkini di kolam renang awam di bandar itu.

Keputusan tribunal pentadbiran itu mendapat pujian Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin di Twitter.

“Berita baik, berikutan rayuan kami, mahkamah pentadbiran menangguhkan perbincangan dewan bandar Grenoble yang membenarkan ‘burkini’ di kolam renang perbandaran, terima kasih kepada undang-undang pemisahan yang dikehendaki Emmanuel Macron,” katanya.

Mahkamah memerintahkan penggantungan peraturan itu, yang berkuat kuasa pada 1 Jun atas aduan wilayah Isere, di mana Grenoble berpusat.

Mahkamah menyatakan bahawa peraturan yang dipinda membenarkan ‘pengguna tertentu membebaskan diri daripada kewajiban memakai pakaian yang melambangkan tujuan agama’ yang serius menjejaskan prinsip berkecuali dalam perkhidmatan awam.

Sebelum ini, Darmanin dan pihak berkuasa wilayah membangkitkan bantahan terhadap burkini kerana ia dianggap sebagai ‘pakaian Islam’ dan melanggar prinsip sekularisme yang ditetapkan oleh undang-undang 1905 serta peruntukan undang-undang kontroversial 2021.

Di bawah peruntukan itu juga melarang sebarang papan tanda bersimbol agama di tempat awam atau bangunan milik kerajaan.

Pada 16 Mei, majlis bandar Grenoble memansuhkan sekatan ke atas pakaian tertentu, sekali gus membenarkan wanita berenang memakai burkini di kolam awam.

Ia adalah bandar kedua selepas Rennes yang membenarkan burkini di tempat awam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button