Berita Utama

Masalah kekurangan bekalan ayam dapat selesai pada Jun

Pengguna boleh lapor jika ayam dijual melebihi harga ditetapkan

BANGI, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Masalah kekurangan bekalan ayam dijangka dapat diselesaikan pada Jun, dengan keadaan di beberapa kawasan sudah bertambah baik, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata, ini berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan kementerian terhadap industri ternakan, selain beberapa langkah intervensi segera yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya sudah bercakap dengan pengeluar ayam dan mereka memaklumkan perkara ini (isu kekurangan ayam) dijangka selesai selewat-lewatnya awal Jun.

“Selain itu, kerajaan juga mengambil langkah drastik dalam menangani perkara itu termasuk mengenakan sekatan ke atas eksport ayam dan pemansuhan permit import (AP) makanan yang diluluskan mulai 1 Jun ini. 

“Insya-Allah ia akan diselesaikan dengan cara terbaik,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Mengenai dakwaan peniaga menjual melebihi harga terkawal iaitu RM8.90 sekilogram, Rosol berkata, pengguna boleh melaporkan kejadian sedemikian untuk pihak berkuasa mengambil tindakan.

“Kita akan pantau dan tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah penguatkuasaan ini.

“Tindakan kami bukan berdasarkan laporan semata-mata, tetapi juga pemeriksaan dilakukan di premis perniagaan dan di lapangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button