Berita Utama

Projek pembinaan SJKC Choon Hwa makan belanja RM14 juta

Peruntukan asal dari RM3 juta naik kepada RM7 juta

AMPANG, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Hwa Pandan, Kuala Lumpur dilaporkan memakan belanja sehingga RM14 juta.

Akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily melaporkan pembinaan sekolah itu telah siap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Ia akan mula beroperasi setahun selepas itu. 

Namun, disebabkan peningkatan kos bahan binaan dan proses semakan semula peta, projek asal pembinaan RM11 juta telah meningkat kepada RM14 juta. 

Meskipun jawatankuasa pembinaan sekolah bersetuju untuk menanggung sebahagian daripada peningkatan kos pembinaan, difahamkan peruntukan yang diberikan kerajaan untuk pembinaan sekolah itu meningkat dari semasa ke semasa.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJKC Choon Hwa, Datuk Leong Kok Wee berkata, ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon memperuntukkan RM3 juta pada tahun 2016 dan RM1 juta pada tahun 2017 untuk SJKC itu. 

Kemudian, ketika berlangsungnya majlis pecah tanah pada 26 Mac tahun lepas, Naib Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon telah berjanji akan memperuntukkan RM1 juta, menjadikan peruntukan terkumpul untuk pembinaan SJKC waktu itu sebanyak RM5 juta.

“Awal tahun ini, kerajaan telah memberikan satu lagi khabar gembira iaitu peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta yang telah meningkatkan peruntukan terkumpul dari RM5 juta ringgit kepada RM7 juta, hanya kurang RM3 juta dari sasaran asal RM10 juta.

“Apabila kami baru merasakan projek akan berjalan lancar, pihak kontraktor memaklumkan kami tentang masalah kekurangan tenaga kerja dan kos bahan binaan yang semakin meningkat, terutamanya kos keluli dan simen.

“Walaupun harga simen tidak dinaikkan, rebat RM9 sebungkus RM19 sebungkus diturunkan kepada RM2, sekaligus menambah beban terselindung,” katanya seperti dilapor Oriental Daily pada 25 Mei lalu.

Katanya, sekolah itu kini telah diluluskan untuk tanah seluas tiga ekar dan pihak sekolah memohon kepada kerajaan untuk menambah lagi tanah seluas 1.5 ekar untuk padang rumput dan tempat letak kereta.

Kok Wee memaklumkan 85 peratus pembinaan struktur sekolah telah siap. 

“Pembinaan tingkat 4 Bangunan A dan B telah siap, manakala Bangunan C pula tingkat tiganya sudah siap. Pembinaan keseluruhan sistem pendawaian dan perparitan elektrik telah mencecah 40 peratus.

“Jika semuanya berjalan lancar, keseluruhan pembinaan boleh disiapkan sebanyak 80 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Kok Wee yang juga Ketua MCA Daerah Pandan mendedahkan bahawa 47 peratus penduduk daerah itu adalah Cina, manakala baki 53 peratus adalah Melayu dan India. 

Dakwanya, hanya ada sebuah SJKC di daerah itu iaitu SJKC On Pong 2 sedangkan permintaan penduduk setempat terhadap SJKC amat tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button