Berita Utama

Rosmah gagal batalkan kes rasuah, gugurkan Sri Ram sebagai pendakwa

Mahkamah tidak punyai bidang kuasa memberi pengisytiharan dimohon

PUTRAJAYA, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam usaha terakhir untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai lebih RM1.25 bilion di Sarawak dan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan dalam kes tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, semasa menolak rayuan Rosmah berkata mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi pengisytiharan yang dimohon.

“Kami bersetuju dengan alasan yang dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan. Kami berpendapat bahawa tiada bidang kuasa sedia ada mahkamah jenayah untuk memberikan pengisytiharan relief,” katanya.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mohd Zawawi berkata terdapat undang-undang bertulis seperti Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya memberikan kuasa sedia ada kepada mahkamah sivil.

Beliau berkata Kanun Tatacara Jenayah adalah undang-undang yang lengkap dan menyeluruh berkaitan prosedur dalam prosiding jenayah.

“Oleh itu, persoalan bahawa mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk memberikan relief itu tidak timbul sama sekali. Rayuan ditolak,” kata Mohd Zawawi.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Panel itu membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah oleh Sri Ram serta peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

Terdahulu, mahkamah tertinggi itu turut menolak bantahan awal Rosmah sama ada wajar bagi Sri Ram mewakili pihak pendakwaan dalam prosiding hari ini.

“Mahkamah tidak menemui sebarang bukti konflik kepentingan jika Sri Ram mewakili pihak pendakwaan. Oleh itu, tiada sebab mengapa beliau tidak boleh mengemukakan atau meneruskan (dalam kes itu) atas kapasitinya sebagai timbalan pendakwa raya kanan. Bantahan awal ditolak,” kata Mohd Zawawi.

Rosmah, 70, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Dis lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan kes beliau dalam usaha bebas daripada ketiga-tiga pertuduhan dan menggugurkan Sri Ram daripada menjadi ketua pendakwa dalam kes itu.

Pada 24 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah atas alasan kebenaran yang diberikan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk menjalankan pendakwaan jenayah dalam kes Rosmah adalah sah di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas kapasitinya sebagai Pendakwa Raya.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah selesai dan Mohamed Zaini telah menetapkan 7 Julai, untuk menyampaikan keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button