Dunia

Rusia sedia bantu atasi krisis makanan jika sekatan ditarik

Bersedia memberi sumbangan besar melalui eksport bijirin dan baja

MOSCOW, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Rusia bersedia membantu mengatasi krisis keselamatan makanan global jika sekatan yang dikenakan berikutan konflik dengan Ukraine ditarik balik, lapor Anadolu Agency, memetik kenyataan Pejabat Presiden.

“Vladimir Putin menegaskan bahawa Rusia bersedia memberi sumbangan besar untuk mengatasi krisis makanan melalui eksport bijirin dan baja, dengan syarat sekatan bermotifkan politik ditarik balik,” kata Putin dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Itali, Mario Draghi.

Pemimpin Rusia itu berkata rantaian bekalan terjejas kerana sekatan yang dikenakan ke atas Rusia mengakses sistem logistik dan kewangan global, menjadikannya mustahil untuk mengangkut makanan, baja dan menjalankan transaksi kewangan.

“Pihak Rusia turut mengesahkan hasratnya untuk terus memastikan bekalan gas asli ke Itali tidak terganggu dan mengikut harga ditetapkan dalam kontrak,” menurut kenyataan itu.

Barat telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas Rusia berikutan operasi ketenteraan yang dilancarkan terhadap Ukraine pada 24 Feb lalu.

Selain kematian dan penghijrahan berjuta-juta orang, konflik itu juga menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan makanan dunia kerana kedua-dua negara adalah pengeksport utama dunia produk gandum, pati minyak yang digunakan untuk memasak selain jagung dan baja mineral.

Pada sidang akhbar di Rom, Draghi berkata beliau memutuskan untuk menghubungi Putin kerana krisis makanan yang berlaku akibat konflik Rusia-Ukraine.

Draghi berkata inisiatif pertama adalah untuk bekerjasama membuka semula sekatan pelabuhan di Laut Hitam yang kini dihalang tentera Rusia.

Meskipun masih belum jelas sama ada percubaan itu akan membuahkan hasil, menurutnya terdapat ruang rundingan dan mungkin akan menghubungi Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy bagi berbincang sama ada beliau bersetuju untuk bersama-sama memastikan usaha ini berjaya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button