Berita Utama

Seperti ada ‘tangan ghaib’ di sebalik pencerobohan tanah Raub

Berapa ribu pokok telah ditebang, berapa banyak untung mereka sudah kaut?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1442H, Rabu – Kegiatan pencerobohan tanah kerajaan Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub, dianggap kejadian luar biasa kerana kawasan yang diceroboh begitu luas dan telah lama berlanjutan.

Lebih menghairankan, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa sedangkan tanah yang diceroboh seluas 4,400 hektar, kata Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya. 

“Mustahil tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Keadaan ini menimbulkan prasangka.

“Seperti ada kartel besar atau tangan ghaib pihak berkuasa yang berkolaborasi dengan perbuatan pencerobohan yang sedemikian teruk,” katanya.

Beliau mengakui bimbang apabila isu ini turut membabitkan parti politik – DAP dan MCA – yang seolah-olah menyokong tindakan pencerobohan berkenaan. 

“Apakah perbuatan menceroboh ini suatu yang boleh disokong dan dibela. Dalam erti kata lain, kerja-kerja pencerobohan oleh pekebun secara haram, tidak salah dan harus diberi pembelaan?

“Kepada parti politik berkenaan sila tunjuk seksyen dan akta mana yang membenarkan mereka berbuat demikian,” katanya.

Haji Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menegaskan, pencerobohan ini bukan sahaja salah dari aspek undang-undang, malah telah mengakibatkan kerajaan Pahang kerugian sebanyak lebih RM30 juta setelah gagal mengutip cukai tanah kerana tidak diwartakan. 

“Bagaimana mahu mengutip cukai sedangkan tanah tersebut masih milik kerajaan dan tidak diwartakan. 

“Bukan itu sahaja, kerajaan Pahang kehilangan hasil pembalakan dan perhutanan, melakukan ketidakseimbangan pada ekosistem alam sekitar, serta kerosakan teruk pada khazanah hutan simpan negeri. 

“Berapa ribu pokok yang telah ditebang dan berapa banyak keuntungan yang telah dikaut pihak penceroboh dengan syarikat-syarikat balak yang mungkin ada terbabit sama,” soalnya.

Serentak itu, PEMBELA menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan.

Pihak kerajaan negeri juga, tegas Aminuddin, perlu menuntut ganti rugi yang sepatutnya dibayar oleh penceroboh. 

“Polis juga digesa mengambil tindakan terhadap penceroboh mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965.

“Begitu juga pencerobohan hutan simpan perlu didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Antara lokasi diceroboh ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Tranum serta Tras.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button