Terlalu banyak berpolitik, tak perlu pengganti Zuraida
Kementerian masih berfungsi meskipun tanpa menteri

BANGI, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Tiada keperluan untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang ditinggalkan penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berpandangan bahawa kementerian berkenaan masih tetap boleh berfungsi meskipun tanpa menteri kerana sudah mempunyai pengurus dan pentadbirnya.
Katanya, tidak mustahil pengurusan kementerian menjadi lebih baik dan efisien dengan ketiadaan menteri kerana tidak terlalu berpolitik.
“Ada menteri pun kadang-kadang menyusahkan, terlalu banyak berpolitik. Sibuk menjaga kawasan dan juak-juak di kiri kanan yang menunggu habuan dan projek.
“Orang-orang keliling menteri kadangkala lebih garfu daripada sudu. Lagaknya lebih daripada menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Ridhuan Tee berkata, tiada keperluan untuk jawatan itu diisi kembali memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga mungkin diadakan tidak lama lagi.
“Tidak timbul soal jika diisi oleh orang baharu, akan meningkat kos. Menteri mana yang tidak bermula dengan jawatan baharu?
“Tidakkah meningkat kos ketika itu? Kenapa tidak ditimbulkan? Menteri mana yang terus ada pengalaman sebelum menjawat jawatan baharu?,” katanya.
Atas sebab itu, langkah terbaik menjimatkan wang rakyat adalah tidak mengisi jawatan menteri yang dikosongkan itu, meskipun ia bertentangan dengan prinsip demokrasi.
“Kosong itu lebih baik daripada diisi oleh mereka yang berkepentingan. Kerajaan akan terus berfungsi.
“Jika cadangan ini tidak diterima, lantik timbalan atau menteri lain (dari Bersatu) untuk pangku sementara menunggu PRU15,” katanya.
Semalam, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, beliau memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.
Susulan peletakan jawatan itu, seorang pemimpin Bersatu sudah mengeluarkan peringatan bahawa jawatan tersebut mesti dikembalikan kepada parti berkenaan.