Berita Utama

Tetapkan harga siling kawal tambang e-hailing: CAP

Caj semasa keterlaluan amat membebankan pengguna

GEORGETOWN, 26 Syawal 1443H, Jumaat – Kementerian Pengangkutan digesa mengambil tindakan segera untuk mengawal harga tambang perkhidmatan e-hailing dengan menetapkan harga siling yang munasabah.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat untuk kebaikan pengguna dan pemandu.

Tegasnya, kenaikan harga tambang satu perkhidmatan e-hailing baru-baru ini amat mengecewakan dan ia membebankan pengguna apatah lagi apabila mereka tidak mempunyai pilihan selain menggunakan perkhidmatan itu.

“Kami juga menerima aduan daripada seorang wanita warga emas yang mengatakan bahawa perjalanan yang biasanya berharga RM9, berharga RM22 dan ini adalah ketika di luar waktu puncak.

“Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Pengangkutan segera mengambil tindakan untuk mengawal harga tambang e-hailing dengan menetapkan tambang siling yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, alasan pemandu kurang menjadi punca kenaikan tambang mengikut sistem harga yang dilaksanakan pengendali perkhidmatan itu tidak masuk akal.

“Caj keterlaluan ini tidak menarik lebih ramai pemandu dan tidak juga membantu meringankan beban pemandu yang mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Ia hanya mengakibatkan pengguna terbeban dengan kenaikan harga yang terlalu mahal dan kami bersetuju bahawa surcaj yang dibenarkan sebanyak 200 peratus adalah terlalu banyak,” katanya.

Sebelum ini, terdapat laporan mengenai tambang perkhidmatan e-hailing meningkat sehingga 400 peratus pada waktu puncak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button