Sektor ekonomi berpusat di bandar utama punca kesesakan trafik
BERJASA cadang bina bandar-bandar baharu supaya kepadatan dapat dibahagi

BANGI, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Sektor ekonomi yang terlalu tertumpu di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di sekitarnya dikenal pasti sebagai punca utama berlaku kesesakan trafik di negara ini.
Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, saban tahun banyak jajaran lebuh raya dan jaringan pengangkutan awam baharu dibina dengan kos berbilion ringgit di kawasan Lembah Klang serta sekitarnya
“Namun, kenapa masalah kesesakan tetap tidak selesai? Jawapannya mudah, kerana kita tidak menyelesaikan masalah pokok isu ini.
“Isu utama kita ialah terlalu terpusat di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama menyebabkan kepadatan penduduk di kawasan ini sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berpandangan, membina bandar-bandar baharu sebagai pusat aktiviti ekonomi negara diyakini mampu menyelesaikan masalah tersebut.
Katanya, keadaan itu diyakini dapat membantu supaya kepadatan penduduk di bandar besar dibahagi atau disebarkan secara lebih sekata.
“Langkah jangka masa panjang ini amat penting untuk dilaksanakan sebelum kita berbicara berkenaan polisi penggunaan kenderaan, perancangan bandar.
“Selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam, mengenakan tol khusus pada waktu-waktu puncak dan pelbagai strategi lain,” katanya.