Berita Utama

Isu sembelihan halal: Jakim hantar pasukan audit ke Australia

Bagi melakukan pemeriksaan di semua loji sembelihan

TAIPING, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghantar pasukan audit halal bagi melakukan pemeriksaan di semua loji sembelihan dan di ‘Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc’ (SICHMA) di Australia, yang membekalkan daging ke Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata pasukan itu akan dihantar segera, selepas Sichma selaku badan persijilan halal mengesahkan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal di negara itu, telah melanggar protokol halal dalam penyembelihan.

“Sebelum Sichma membuat perakuan, kita terus ambil tindakan membatalkan dan menghentikan loji berkenaan sehingga siasatan dilakukan dan hari ini terbukti Sichma yang bertanggungjawab ke atas persijilan halal, telah membuat perakuan loji tersebut melanggar persijilan halal,” katanya pada sidang media pada Program Bantuan Hari Raya Asnaf-QSR-SPE di KFC Simpang dekat sini hari ini.

Pada 13 Mei lalu, kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Idris berkata sejak 13 Mei lalu, produk dari loji berkenaan tidak dibenarkan di import ke Malaysia dan produk dari loji tersebut yang masih ada di pasaran, diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara melibatkan status halal, dan mana-mana loji yang sembelihan meragukan boleh terus dilaporkan kepada Jakim untuk siasatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button