Berita UtamaDunia

Kes pembunuhan Shireen Abu Akleh dirujuk ke ICC

Al-Jazeera teroka semua perundangan diyakini bawa keadilan

LONDON, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Pasukan pakar perundangan merujuk kes pembunuhan wartawan kanan rangkaian berita Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh oleh tentera negara haram Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Shireen ditembak mati ketika sedang membuat liputan di Kem Pelarian Jenin, 11 Mei lalu.

Pengumuman itu dibuat menerusi sidang media selepas keputusan bersama oleh Pihak Berkuasa Palestin dan rangkaian media Al-JAzeera untuk mengemukakan kes ke ICC.

Peguam dari Doughty Street Chamber, perwakilan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), Sindiket Wartawan Palestin (PJS) dan Pusat Keadilan Untuk Rakyat Palestin (ICJP) turut hadir dalam majlis berkenaan.

Wakil Al-Jazeera Baitulmaqdis, Walid al-Omari berkata, pihaknya telah meneroka semua perundangan dan akan membawa keadilan kepada Shireen.

Sementara itu, Bindmans LLP, wakil guaman yang mengendalikan majlis berkenaan berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan dari pejabat pendakwaan ICC berhubung tindakan yang akan dikenakan.

Pembunuhan wartawan kanan Al-Jazeera itu dan Ali al-Samoudi menjadi tumpuan dunia yang memerlukan tindakan segera ICC.

Rangkaian berita berkenaan menjelaskan telah membentuk gabungan antarabangsa terdiri daripada pakar yang menyediakan dokumen lengkap pembunuhan kepada pihak pendakwa ICC.

“Rangkaian berita itu juga berikrar akan mengikuti langkah ke arah keadilan kepada Shireen dan memastikan individu yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan berkenaan dibawa ke muka keadilan dalam semua platform keadilan dan perundangan antarabangsa,” kata Al-Jazeera dalam kenyataan, semalam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button