Berita Utama

Mengejutkan! TFI langgar protokol halal dalam proses sembelihan

Malaysia gantung serta-merta kelulusan import daging TFI di Australia

BANGI, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) tampil membuat pendedahan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia, yang membekalkan daging kambing ke negara ini melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan.

SICHMA, badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan berkata, perkara itu dibuktikan selepas menjalankan audit mengejut di TFI, Isnin lalu.

“Amat malang apabila hasil penemuan audit itu menunjukkan berlaku pelanggaran protokol halal.

“Sekiranya perkara itu dilaporkan kepada SICHMA pada hari kejadian, sudah tentu SICHMA akan memastikan protokol halal diguna pakai sepenuhnya dan kambing-kambing yang diproses tanpa mengikut piawaian akan diturunkan gred kepada tidak halal,” kata Naib Pengerusi SICHMA, Adem Cetinay seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Pengesahan itu dibuat menerusi emel SICHMA kepada penyelidik bebas Australia, Murray Hunter.

Mengulas lanjut, Adem berkata pihaknya turut meminta penjelasan mengenai kaedah pengendalian dan arahan kerja di premis berkenaan.

14 April lalu, akhbar tersebut mendedahkan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam.

Malah, berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan hanya dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih sehingga mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

“Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video,” katanya.

Susulan itu, Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import daging dari TFI sehingga siasatan menyeluruh selesai pada 14 Mei lalu.

Selepas pendedahan itu, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland, Australia turut didakwa melanggar protokol halal sembelihan.

Perkara didedahkan wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang dikenali sebagai Amin ketika membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah penyembelihan tersebut.

Rumah sembelihan terbabit turut mendapat pensijilan halal SICHMA yang diiktiraf badan badan pensijilan halal di negara Asia Tenggara lain.

Tambah Adem, SICHMA juga memperakui dua rumah penyembelihan di Queensland, bukan tiga seperti didedahkan sekali gus menyifatkan dakwaan berkenaan palsu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button