Berita Utama

Pahang hasrat wujudkan pusat pelupusan al-Quran di setiap daerah

Guna teknologi khas Jepun bagi hasilkan abu sebelum dilupuskan

BANGI, 27 Syawal 1443H, Sabtu – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhasrat mewujudkan pusat pelupusan al-Quran di setiap daerah bagi memudahkan proses pelupusan ayat-ayat suci.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Zakaria Mohamed berkata, pusat pelupusan itu menggunakan teknologi khas bagi memproses ayat-ayat suci berkenaan.

“Buat masa ini, Pahang memiliki dua pusat pelupusan al-Quran di daerah Jerantut dan Pekan yang menggunakan teknologi dan kepakaran khas untuk memproses abu al-Quran.

“Pusat pelupusan ini akan kita tambahkan lagi di semua daerah secara berperingkat bagi memudahkan proses-proses berkenaan dilakukan.

“Kini pusat pelupusan di Temin, Jerantut menggunakan teknologi dari Jepun dengan kos RM38,000,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Pada masa sama, Zakaria mengajak, individu yang mahu melupuskan al-Quran berhubung atau datang terus ke pejabat agama Islam daerah masing-masing untuk tujuan pengumpulan sebelum dilupuskan.

Katanya, al-Quran perlu dilupuskan dengan cara tertentu berpandukan rujukan dalam Islam dan dihantar kepada pihak pejabat agama Islam daerah yang akan mengumpulnya sebelum ke pusat pelupusan.

Terbaharu, sebanyak enam tan abu al-Quran berjaya dilupuskan di Laut Cina Selatan pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari persisiran pantai pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang.

“Jumlah kali ini paling banyak berikutan banyak al-Quran yang musnah akibat kejadian banjir di daerah yang terjejas teruk iaitu dari Bentong dan Temerloh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button