Berita Utama

Citra bahasa Melayu mesti terpampang jelas pada nama taman, bangunan, jalan

Cinta terhadap bahasa kebangsaan patut meluas kepada semua bangsa

BANGI, 28 Syawal 1443H, Ahad – Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan antarabangsa bukan perkara mustahil.

Namun, ia perlu disusuli dengan tindakan yang realistik atau berjejak di bumi nyata negara serta persada antarabangsa, kata Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Beliau berkata, melalui Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini ditimbulkan beberapa pandangan serta saranan daripada tokoh pelbagai bidang dari dalam dan luar negara.

Katanya, isu disentuh banyak sekali termasuk kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dalam pelbagai bidang kehidupan, peranan harus digerakkan oleh bahasa Melayu jika ia mahu dilihat berkesan di arena antarabangsa.

Selain itu, cadangan bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu, pihak di luar negara yang boleh dijadikan rakan jaringan bekerjasama bagi mengembangkan bahasa Melayu, mengangkat kekuatan teks sastera serta kearifan tempatan dalam bahasa Melayu melalui penterjemahan dan sebagainya.

Berikutan itu, beliau berpendapat adalah wajar sekiranya resolusi seminar itu segera diperhalusi serta dilaksanakan supaya menjelang seminar 2023 beberapa perkembangan bahasa Melayu yang menarik dilakar di Malaysia, ASEAN dan antarabangsa.

“Dalam hubungan ini, kita berharap pindaan Akta DBP akan menyaksikan penguatkuasaan bahasa Melayu yang lebih berkesan menjelang seminar ini pada 2023 yang akan datang.

“Melaluinya bahasa Melayu betul bukan sahaja digunakan dengan meluas di sektor awam dan swasta, malah citranya terpampang jelas pada nama taman, bangunan, jalan dan sebagainya,” katanya menulis di Berita Harian.

Di samping itu katanya, rasa ‘kecintaan’ dan ‘kemegahan’ terhadap bahasa Melayu di negara ini sepatutnya akan lebih meluas kepada semua bangsa di negara kita.

Hal ini dibangkitkan kerana bahasa Melayu sepatutnya bukan milik atau warisan bangsa Melayu sahaja; sebaliknya menjadi bahasa kebangsaan, bahasa perhubungan dan bahasa pemersatuan masyarakat majmuk di negara ini.

“Dalam tempoh setahun mendatang, diharapkan pihak di Kementerian Luar khususnya akan mengambil langkah strategik mengetengahkan bahasa Melayu ke peringkat ASEAN.

“Kedutaan atau perwakilan Malaysia di luar negeri juga diharap dapat memainkan peranan lebih besar untuk mengembangkan bahasa Melayu, malah mewujudkan jawatan atau kebudayaan di beberapa tempat penting, yang akan turut mengembangkan bahasa Melayu,” katanya.

Pautan artikel:

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/05/959519/laksana-resolusi-martabat-bahasa-melayu-babitkan-generasi-muda

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button