Hormat pekerja Islam, jangan dipaksa jual arak
Hati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan

BARU-baru ini saya terbaca di akhbar yang melaporkan Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berjaya menghalang penjualan arak di sebuah kedai serbaguna. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada usaha murni ini.
Setiap hari kita akan membaca di dada akhbar banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di Malaysia.
Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat untuk menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen menjual minuman membukkan itu terlebih dahulu dan mestilah mengiklankan hasratnya bagi mengetahui samada terdapat bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya.
Objektif peraturan ini memanglah baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa dan ianya sejajar dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.
Namun hakikatnya masih banyak terdapat kedai-kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah arak haram juga masih kedapatan dijual sehingga menyebabkan kematian baru-baru ini.
Arak amat mudah diperolehi walaupun oleh orang yang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.
Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami oleh orang Islam ataupun di premis yang dibuka 24 jam sehari yang memungkinkan orang Islam membelinya arak tatkala tiada ramai pengunjung kedai tersebut.
Malah kegusaran tersebut ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman-minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan sahaja.
Penulis banyak menerima rungutan berhubung dengan perkara ini dan ada juga yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barang yang diharamkan oleh agama itu.
Bukan itu sahaja, malah sebahagian daripada permit yang diberikan itu juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang. Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan:-
18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Ini bermakna bukan sahaja meminum minuman memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, tetapi orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen yang sama.
Malah di dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding dengan kategori pertama tadi.
Pihak berkuasa hendaklah berhati-hati di dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terlibat di dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan hendaklah tidak terdiri dari kalangan orang Islam.
Hormatilah agama orang Islam sebagaimana orang Islam menagih orang Islam menghormati orang bukan Islam. Penghormatan ini adalah penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat berbilang bangsa, ras dan agama.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan sekiranyapun lesen penjualan minuman memabukkan ini diberikan, pihak yang berwajib perlu mengawal bilangan lesen yang diberikan di sesuatu tempat, mempastikan syarat bahawa majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak samada kepada orang Islam ataupun orang bukan Islam.
Sudah tentu ada pula yang mengatakan syarat yang disyorkan di atas hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan akan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam.
Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin kita gunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah.
Islam menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki. Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan itu sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan tersebut sebenarnya amat mulia di sisi agama.
Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan di atas, sudah sampai masanya bagi pekerja-pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberikan pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian yang menutup aurat, memberi peluang kepada pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda-benda yang diharamkan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar