Berita Utama

JHEAIK siasat amalan khurafat atas Gunung Jerai

Orang ramai diminta salur maklumat aktiviti bercanggah Islam

ALOR SETAR, 28 Syawal 1443H, Ahad – Dakwaan terdapat amalan khurafat yang dilakukan atas Gunung Jerai dekat Yan sedang dalam siasatan, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Beliau berkata, pihaknya memandang berat perbuatan khurafat yang dilakukan beberapa individu dalam sebuah video tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darulaman) 2014 kerana kesalahan doktrin palsu dan menghina serta menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Jika sabit kesalahan bagi Seksyen 4, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombonasi hukuman itu.

“Manakala Seksyen 7 enakmen sama, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan mengadakan siri penerangan di seluruh negeri ini berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

“JHEAIK akan terus memberikan penerangan kepada masyarakat dan pada masa sama akan sentiasa memantau aktiviti keagamaan di seluruh negeri ini.

“Selain itu, kita minta semua masyarakat supaya sentiasa peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan.

“JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button