Berita Utama

Kerajaan negeri minta mangsa ribut segera buat laporan polis

50 buah rumah dilapor alami kerosakan setakat ini

KANGAR, 28 Syawal 1443H, Ahad – Mangsa ribut diminta agar segera membuat laporan polis bagi memudahkan urusan mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri.

Exco Kebajikan dan Bantuan Bencana negeri, Ruzaini Rais berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan agensi berkaitan telah melakukan tinjauan dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan oleh mangsa.

“Sehingga kini kami menerima laporan 50 buah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda petang semalam dan pagi tadi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, antara kawasan yang terjejas ialah Kuala Perlis, Pauh, Ulu Pauh, Padang Siding, Batu Bertangkup, Sungai Padang, Kayang, Titi Tinggi, Batu Hampar dan Alor Tampang.

Turut terjejas ialah Simpang Sanglang, Padang Keria, Sungai Baru, Simpang Empat, Guring, Sungai Padang dan Behor Empiang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya dan agensi berkaitan kini giat mengenal pasti taksiran kerosakan.

“Ribut kedua berlaku sekali lagi petang ini di Arau dan kita sedang berusaha memindahkan sebuah keluarga ke kawasan yang selamat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button