Berita UtamaDunia

400,000 tan gandum, bijirin hasil Ukraine dirampas Russia

Imej satelit rakam kapal Russia bawa gandum dicuri ke Syria

DAMSYIK, 29 Syawal 1443H, Isnin – Kira-kira 400,000 tan bijirin hasil negara Ukraine dilaporkan dirampas tentera Russia, sehingga boleh memberi kesan kepada bekalan makanan global.

Imej satelit menunjukkan kapal milik Russia didakwa membawa hasil gandum dan bijirin lain yang dicuri dari Ukraine tiba di Syria.

Imej yang dikeluarkan oleh Maxar Technologies itu menunjukkan Kapal Matros Pozynich tiba di Pelabuhan Latakia, Syria, Jumaat lalu.

Malah, ia merupakan kapal kedua yang tiba ke negara tersebut dalam tempoh empat minggu, lapor CNN.

Kapal Matros Pozynich merupakan satu daripada tiga kapal memuatkan gandum dan bijirin yang dirampas di Sevastopol, Crimea sejak Russia menyerang Ukraine, Februari lalu.

Bukan sekadar kapal, kenderan lain termasuk lori juga dilaporkan membawa gandum dan bijirin hasil keluaran negara berkenaan.

Pihak berkuasa Ukraine menganggarkan kira-kira 400,000 tan bijirin telah dirampas tentera Russia dan situasi itu dijangka memberi kesan kepada bekalan makanan global.

Ukraine merupakan negara pengeluar gandum terbesar dunia namun sejak pencerobohan Russia telah menjejaskan eksport ke seluruh negara.

Situasi berkenaan memaksa negara-negara lain mencari bekalan gandum untuk tempoh masa pendek, selain berdepan kenaikan harga melampau.

Sejak beberapa tahun lalu, tentera Russia membantu Presiden Bashar al-Assad dalam memusnahkan penentangan terhadap rejimnya selain dituduh melakukan pencabulan hak asasi terhadap rakyat Syria.

Lebih 500,000 rakyat Syria terbunuh sejak pemberontakan pada tahun 2011 dan sebahagian besar terdiri daripada orang awam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button