Berita Utama

6 individu dilantik sebagai Ahli Panel Badan Pemantau Bebas SPRM

Tempoh lantikan 2 tahun, pantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Enam individu dilantik sebagai Ahli Panel Badan Pemantau Bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasinya.

Kesemua mereka dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mewakili masyarakat untuk tempoh dua tahun.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, lima daripada individu itu adalah lantikan semula sebagai Ahli Panel Penilaian Operasi (PPO), manakala seorang lagi adalah Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu bagi menggantikan seorang panel yang meletak jawatan pada Disember lalu.

“Kesemua individu yang dilantik terdiri daripada golongan profesional serta pakar dari pelbagai bidang bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

“Tempoh pelantikan Ahli PPO dan PPPR berkuat kuasa mulai 1 April lalu sehingga 31 Mac 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kesemua lantikan sebagai ahli panel menerima surat cara pelantikan dari Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM.

Antara lantikan Ahli PPO ialah bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Abdul Manap Dim.

Turut dilantik bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Azimah Abd Hamid dan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia, Dr Mazlan Ahmad.

Manakala, ahli baharu PPPR adalah Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button