Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

i-Guru pertimbang buat rayuan keputusan sekolah vernakular

Akan adakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk peguam

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk peguam akan dilakukan oleh Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) sebelum mempertimbangkan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, selepas memutuskan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan.

Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee hassan berkata, pihaknya bersedia untuk membawa keputusan berkenaan ke Mahkamah Rayuan namun akan mempertimbangkan selepas mendengar pandangan daripada pelbagai sudut perundangan.

Tegasnya, i-Guru kini menerima keputusan berkenaan secara terbuka selain mengakui perjuangan dilakukan sememangnya berdepan jalan yang hebat.

“Kita sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan kerana berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Disember tahun lalu juga tidak menyebelahi plaintif.

“Apa yang dibawa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) ketika itu ditolak oleh mahkamah.

“Kita juga sudah baca setiap aspek yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan sememangnya ia amat mencabar untuk dicabar pula di Kota Bharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendapati hakim juga bersetuju dengan perjuangan tersebut dengan membangkitkan mengenai sekolah vernakular tertakluk kepada berkepentingan awam.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memutuskan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan.

Sementara itu, peguam T Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil sebagai pencelah berkata, hakim tidak memerintahkan kos kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

I-Guru memfailkan saman terbabit tahun lalu bagi mencabar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, isu berkepentingan awam yang dibangkitkan dalam penghakiman itu perlu difahami oleh semua pihak kerana membawa maksud kewujudan sekolah vernakular meski absah dan mengikuti Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Kewujudan sekolah ini perlu mengikuti Perlembagaan negara dan tidak boleh menyalahi undang-undang termasuk mengenai mata pelajaran Bahasa Melayu yang perlu ditekankan dan ditempatkan dengan sewajarnya.

“Melalui penghakiman itu, kita tidak mahu lagi timbul isu pelajar tidak boleh bertutur atau berkomunikasi dengan baik Bahasa Melayu.

“Dasar dan polisi kerajan perlu diterima sepenuhnya oleh pihak terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button