Berita Utama

Jangan korbankan bahasa Melayu kerana kemajuan dan pembangunan

Belum terlambat betulkan keadaan martabatkan bahasa Melayu: PEMBELA

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dikorbankan atas nama pembangunan negara, sebaliknya perlu dipertahankan dan dilihat sebagai tonggak kepada pembinaan negara serta budaya.

Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, walaupun bahasa Melayu kini berdepan globalisasi pengaruh Barat namun belum terlambat untuk membetulkan keadaan selain memartabatkan kedudukannya.

“Masyarakat dalam negara kita terutama pemimpin sendiri perlu berganding bahu memainkan peranan dalam mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu ini supaya peranan bahasa Melayu tidak lenyap ketika rakyat asyik dengan globalisasi.

“Kini tsunami kemasukan budaya songsang Barat semakin dirasai apabila anak-anak muda kini lebih selesa berbahasa Inggeris berbanding berbahasa kebangsaan walaupun lahir dan membesar di negara ini.

“Konon lebih fasih berbahasa asing berbanding bahasa ibunda sendiri sedangkan perkara yang dilakukan itu adalah merosakan bahasa sendiri,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Prof Dr Sarjit Singh yang menyifatkan bahasa Melayu kini berada dalam keadaan tenat dan akan lenyap sekiranya tidak diperjuangkan.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi menegaskan, masyarakat perlu menanam ingatan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang merupakan kontrak sosial yang perlu dipertahankan.

“Dalam apa juga keadaan ingatan ini perlu dikekalkan, hebat mana pun negara kita kontrak sosial ini tidak boleh kita langgar sekali gus menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita,” tegasnya.

Katanya lagi, langkah mempertahankan bahasa Melayu adalah kewajipan kepada pembentukan Malaysia melibatkan peruntukan khas dalam Perlembagaan iaitu Perkara 152.

“Ia juga ditetapkan sebagai Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana satu daripada terasnya adalah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam negara kita.” katanya.

Justeru, katanya, menjadi kewajipan kepada semua individu untuk pertingkatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu supaya terus kekal sekali gus mendaulatkannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button