Berita Utama

KKM minta syarikat import mentega kacang Jif tarik balik produk

Dikhuatiri produk tercemar dengan bakteria Salmonella

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) meminta syarikat pengimport mentega kacang jenama Jif menarik balik produk berkenaan kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.

Tindakan itu diambil selepas KKM mengambil maklum berkaitan penarikan balik produk mentega kacang jenama itu dari pasaran Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (FDA) mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya membabitkan tiga digit terakhir 425, ditarik balik kerana tercemar dengan bakteria Salmonella.

Katanya, produk mentega kacang itu telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura termasuk Malaysia.

“Melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), ia mengesahkan produk mentega kacang berjenama Jif berkenaan ada diimport ke negara ini.

“KKM sudah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk yang terlibat di pasaran. Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terbabit masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham meminta peniaga yang menjual produk dengan nombor kumpulan sama menghentikan penjualan serta-merta.

Sementara itu, bagi pengguna yang membeli produk berkenaan dengan nombor kumpulan yang dinyatakan diminta untuk tidak memakannya.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button