Berita Utama

Pembukaan Tabika Kemas baharu bergantung keperluan, elak pembaziran

Tabika Kemas bersaing dengan sekolah rendah tawar pendidikan prasekolah

MELAKA, 29 Syawal 1443H, Isnin – Pembukaan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) baharu di sesuatu kawasan bergantung kepada keperluan bagi memastikan tidak berlaku pembaziran.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketika ini, Tabika Kemas mendapat saingan daripada sekolah rendah yang menawarkan pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak berusia seawal empat tahun.

“Kita sentiasa mengkaji permohonan atau keperluan untuk membuka Tabika Kemas baharu di kawasan pinggir bandar atau luar bandar dari semasa ke semasa kerana melibatkan beberapa faktor terutama dari segi bajet.

“Sejumlah bajet diperlukan untuk membuka Tabika Kemas baharu dan setiap tahun ada tabika baharu yang dibuka dan ada juga yang terpaksa ditutup ekoran murid tidak mencukupi kerana ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke prasekolah,” katanya kepada pemberita di sini hari.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Anggota Kemas Malaysia 2022 dan Kelab Anak Muda Perintis Intelektual Se-Malaysia yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mahdzir berkata selain itu, Tabika Kemas baharu akan dibuka bagi mengurangkan kepadatan murid di tabika sedia ada sekali gus memastikan mereka dapat menjalani sesi pendidikan awal dengan baik dan selesa.

“Satu tabika kita perlukan 20 hingga 30 orang sahaja… jika lebih, kita perlu buka tabika baharu kerana kita tidak mahu terlalu padat,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, jumlah Tabika Kemas di seluruh negara adalah sebanyak 10,765 buah melibatkan 215,565 murid.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata cadangan untuk menaikkan elaun pembantu Tabika Kemas kepada RM800 sebulan masih di peringkat kajian di peringkat Kementerian Kewangan.

Katanya setakat ini pembantu Tabika Kemas mendapat elaun RM500 sebulan dan ia melibatkan kira-kira 11,000 sukarelawan berkenaan.

“Cadangan menaikkan kadar elaun itu kini di peringkat Kementerian Kewangan dan kita berharap akan mendapat jawapan positif,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button