Kolumnis

Presiden MCA mesti bertanding di kawasan majoriti Cina

Tidak perlu menumpang tuah di kawasan majoriti Melayu

MCA adalah parti Cina, kekuatan sebenarnya di kawasan majoriti Cina. Titik. Tidak perlu menumpang tuah di kawasan majoriti Melayu. Apabila menang, perjuangkan Cina, sekolah Cina dan semua berkaitan Cina. Adilkah kita kepada Melayu? Tak ada rasa malu ke? Jangan ambil jalan pintas bertanding dan menang mudah di kawasan majoriti Melayu.

Saya amat bersetuju dengan pandangan bekas ADUN keluar MCA, juga bekas ADUN Pulai Sebatang, Tee Siew Kiong yang mencabar Presiden MCA supaya bertanding di kerusi majoriti Cina, bukannya di kawasan majoriti Melayu, contoh Parlimen Ayer Itam, Johor.

Ini kerana MCA adalah Parti Cina Malaysia, sudah tentu tempatnya di kawasan majoriti Cina, bukan senang lenang bertanding di kawasan majoriti Melayu dan kemudian menang mudah.

Senang kerja MCA bukan! Menang mudah di kawasan majoriti, kawasan majoriti Cina kalah teruk dengan DAP. Jentera kempen, semua dalam kalangan orang Melayu UMNO itu sendiri. Dia tidak payah susah-susah kempen. Kemenangan sudah berada di tangan. Bila menang, dapat semua kerusi Kabinet, menteri dan timbalan serta jawatan-jawatan lain di kementerian yang dipegang, dilantik juak-juak mereka.

Berulang kali saya beratib, tidak pasti UMNO yang telah beberapa kali dikencing MCA, mahu dengar atau tidak. Kekuatan MCA sebenar adalah di kawasan majoriti Cina kerana nama MCA itu sendiri adalah parti Cina. Keahlian semua Cina. Kecualilah MCA parti bukan nama Cina.

Pandangan bekas ADUN Pulai Sebatang yang mengumumkan keluar daripada MCA berkuat kuasa serta-merta selepas memutuskan untuk tidak membuat rayuan berhubung penggantungan keahliannya dalam parti selama lima tahun itu, memang ada kebenarannya.

Tee Siew Kiong, sama surname dengan saya, Tee juga, bersaudara rupanya saya dengan dia, semasa pemilihan MCA pada 2018, Tee bergandingan dengan bekas timbalan menteri Gan Ping Sieu untuk merebut dua jawatan tertinggi parti. Bagaimanapun, gabungan Wee Ka Siong-Mah Hang Soon muncul sebagai pemenang dalam pemilihan itu. Maknanya, Tee bukan kem Presiden MCA sekarang ini.

Sebelum digantung, Tee adalah bekas Ketua Bahagian MCA Pontian. Dia dikenakan tindakan tatatertib itu selepas mengkritik secara terbuka kepemimpinan parti itu kerana menyerahkan hak pencalonan untuk Pulai Sebatang kepada UMNO semasa PRK Johor baru-baru ini.

Sudah tentu dalam hal ini saya berbeza pendapat dengan Tee, walaupun bersetuju dengan beliau atas tajuk Presiden MCA mesti bertanding di kawasan majoriti Cina.

Dalam hal berkaitan dengan perjuangannya mahukan MCA bertanding di DUN Pulai Sebatang, kawasan majoriti Melayu, saya langsung tidak setuju.

Tepat keputusan pimpinan UMNO dalam PRK Johor baru-baru ini, sewajarnya kerusi itu diberikan kepada UMNO kerana ini kawasan majoriti Melayu. Kenapa MCA nak ambil jalan mudah bertanding dan menang kawasan majoriti Melayu. Nampak sangat mereka ini ultra kiasu.

Sejak dahulu perjalanan politik MCA amat mudah, tidak ada jalan berliku, jalannya amat pintas, menang di kawasan majoriti. Sangat beruntung kerana keuntungan berpihak kepadanya tanpa bekerja keras. Yang mendapat bala adalah UMNO. Bila rakyat dah benci, MCA yang bertanding di kawasan majoriti Melayu dikalahkan oleh pembangkang dalam PRU14. MCA hanya menang satu kerusi Parlimen, iaitu Parlimen Ayer Itam, itulah kawasan selamat Presiden MCA. Diikuti dengan PRK Tanjung Piai, pun kawasan majoriti, ditandingi MCA, menang percuma selepas itu, terus dilantik timbalan menteri.

Dalam kata lain, terlalu beruntung jadi parti rasis ini. Menang mudah, dapat jawatan Kabinet pun terlalu mudah. Siapa yang melopong dan terlepas serta rugi? Tidak lain, UMNO. Pernahkah MCA kenang budi UMNO dan mahu membalasnya? Jangan haraplah. Ugut ada.

Sebab itu, saya amat bersetuju dengan pandangan bahawa Presiden MCA mesti bertanding di kawasan majoriti Cina seperti mana yang pernah berlaku kepada presiden mereka sebelum ini, mencontohi keberanian bekas presiden Lee San Choon.

Untuk makluman, Lee San Choon, adalah Presiden MCA keempat. Dalam pilihan raya umum 1982, dia bertanding di kerusi Seremban sebagai menyahut cabaran daripada Pengerusi DAP ketika itu Chen Man Hin, yang mendakwa pemimpin MCA takut bertanding di kerusi majoriti Cina

Selaku anak jantan, Lee San Choon sahut cabaran itu, kemudian berjaya menumbangkan Chen Man Hin, yang telah memegang kerusi Seremban sejak 1969, yang pada ketika ia dikenali sebagai Seremban Timor. Kenapa Presiden MCA sekarang perlu takut bertanding di kawasan majoriti Cina menentang DAP? Kerana sudah yakin akan kalah?

Seperti yang saya telah sebut, Presiden MCA juga adalah antara satu-satunya calon MCA yang ‘terselamat’ semasa PRU 14, 2018. Dia bertahan di kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti tipis 303 undi. Parlimen Ayer Itam adalah kerusi campuran. Kira-kira 58 peratus pengundi adalah penduduk Melayu. Kawasan ini selayaknya ditandingi UMNO.

Saya senaraikan logik, kenapa semua pemimpin MCA mesti bertanding di kawasan majoriti Cina dengan alasan mudah.

Pertama, MCA adalah parti Cina, namanya parti amat jelas akan kecinaan itu. Laman sosial mereka semua mendahulukan bahasa Cina. Perjumpaan dan mesyuarat mereka semua menggunakan bahasa Cina. Pendek kata, semuanya Cina. Terlalu kecinaan. Maka, sudah tentu tempatnya adalah kawasan majoriti Cina. Ini bukan soal rasis, tetapi hakikat yang mesti diterima.

Kedua, MCA sudah tidak boleh lagi diberikan muka. Menang mudah kawasan majoriti Melayu, kalah teruk di kawasan majoriti Cina. Orang Cina di kawasan majoriti Melayu pun tidak mengundi MCA tetapi mengundi DAP. Jika begitu keadaan, dia bukan wakil rakyat yang dipilih majoriti Cina, tetapi majoriti Melayu. Justeru, perjuangannya sepatutnya lebih sedikit kepada kemelayuan sebab orang Melayu yang memberikan kemenangan kepadanya. Tetapi kenapa masih tegar dengan perjuangannya kecinaannya. Ini sangat tidak adil kepada orang Melayu yang memenangkannya.

Ketiga, jentera pilihan raya di kawasan majoriti Melayu itu, semua digerakkan oleh orang Melayu. MCA boleh dikatakan tidak buat apa-apa pun. Hanya pergi berceramah untuk berkempen. Selebihnya semua Melayu yang sediakannya. Dalam kata lain, MCA sebenarnya mewakili Melayu bukan Cina. Adilkah kita kepada Melayu yang mengundi MCA apabila agendanya begitu perkauman?

Keempat, MCA bukanlah parti yang setia kepada UMNO (BN). Ketika UMNO susah dalam PRU14, tidak dapat memerintah, MCA isytihar keluar. Bila UMNO kuat kembali, MCA terhegeh-hegeh mahu bercium mulut dengan UMNO. Susah lari, senang datang kembali. Adilkah kita wahai UMNO? Ini bukan rasis tetapi hakikat.

Kelima, UMNO mesti bertegas, kekuatan MCA mesti diuji di kawasan majoriti Cina dalam PRU15. Jika MCA kalah, bermakna, dia tidak mendapat kepercayaan daripada kaum Cina. Parti ini tidak layak menjadi nama Cina sebagai label atau nama partinya. Sudah sampainya masa nama itu ditukar kepada nama yang lebih umum, Parti Campuran Malaysia.

Keenam, sepanjang bersama UMNO dalam pemerintahan negara, lebih 60 tahun, MCA gagal untuk memandaikan orang Cina dan sekolah Cina, untuk menyahut agenda negara, terutama dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Orang Cina tetap tidak tahu atau faham bahasa Melayu, malah lebih teruk. Operasi sekolah Cina, terus menjadi secina-cinanya. Jadi, apa guna MCA berada dalam kerajaan. Sekadar menumpang tuah? Maka sudah sampai masanya, kedudukan MCA dikaji.

Ketujuh, jika ada agenda Islam yang mahu dilaksanakan, selaras dengan Perlembagaan. Parti MCAlah yang paling tegar menentang. MCA sama sekali tidak bersetuju dengan agenda Islam yang ingin dilaksanakan. Contoh, RUU 355, sehingga menyebabkan saya terpaksa mengambil keputusan keluar daripada menjadi ahli MCA. MCA menolak jawi enam (tiga) muka surat. Undang-undang bonceng lelaki perempaun di Terengganu, yang tidak ada kaitan dengan bukan Islam pun dia tentang. Banyak lagi kalau mahu diperkatakan. Pendek kata, agenda liberal MCA sangat jelas dan amat rasis.

Sudah sampai masanya, lantiklah Cina daripada parti lain, yang lebih mesra Melayu, mesra Islam, mesra bahasa Melayu, mesra agenda negara. Parti ini tidak lagi boleh diberikan harapan dan dipercayai lagi.

Ingatlah wahai UMNO, jika kamu terus memberikan kerusi tradisi majoriti Melayu kepada MCA, dalam keadaan politik yang tidak stabil ini, iaitu memerintah dengan kemenangan majoriti tipis.

Sekalipun kamu, UMNO memerintah dengan majoriti tipis, apa jaminan MCA tidak akan keluar, menyeberang ke parti lain untuk menjatuhkan kamu. Kerana saya pasti, MCA akan terus menang di bawasan majoriti Melayu yang ditandingi dan kalah teruk di kawasan majoriti Cina.

Biawak hidup ini tidak boleh dibela lagi kerana ia akan pasti menyusahkan daripada memudahkan. MCA kena belajar mengikut jejak Lee San Choon.

Kepada parti BERJASA, jangan lupa pesanan saya, jika MCA masih bertanding di kawasan majoriti Melayu, ia mesti dicabar. Sedarkanlah orang Melayu daripada sekarang betapa bahayanya ultra kiasu ini. Mulakanlah gerak kerja itu untuk memahamkan Melayu erti BERJASA. Kita sebagai umat Islam, bukan rasis, agama kita amat tidak membenarkan sama sekali kita bersikap rasis. Tetapi kita perlu meletakkan sesuatu pada tempatnya, baharulah itu dinamakan adil.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button