Berita Utama

Ramai pekerja asing di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli tiada permit sah

Tindakan akan dikenakan kepada pengurus atau pemilik ladang yang mengambil golongan tersebut bekerja

KOTA BHARU, 29 Syawal 1443H, Isnin – Hasil risikan dan operasi, polis mendapati ramai dalam kalangan pekerja asing yang bekerja di ladang atau kebun di sekitar pedalaman Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli, tidak memiliki permit kerja yang sah, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata, pihaknya sering menerima laporan berkaitan kes gaduh melibatkan pekerja warga asing di ladang atau kebun di kawasan berkenaan, dan apabila diperiksa kebanyakan yang terlibat didapati tidak memiliki dokumen yang sah untuk bekerja dalam negara.

“Dalam kes seumpama ini polis akan mengambil tindakan dengan menahan pengurus atau pemilik ladang yang mengambil mereka ini bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,  hari ini.

Beliau turut merujuk kepada operasi yang dijalankan semalam yang menyaksikan dua individu iaitu pemilik dan pengurus ladang di Gua Musang berusia 30-an dikesan menggaji pekerja warga asing tanpa permit selepas terbongkar kes kematian seorang pekerja Myanmar tanpa permit, Jumaat lepas.

“Bagi majikan yang menggaji pendatang tanpa izin, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap orang pekerja yang diambil,” katanya.

Muhamad Zaki berkata majikan terlibat juga boleh disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button