Berita Utama

Sekolah vernakular: Mahkamah Tinggi tolak saman i-Guru

Plaintif cadang fail rayuan keputusan mahkamah

BANGI, 29 Syawal 1443H, Isnin – Mahkamah Kota Bharu di Kelantan memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah di sisi Perlembagaan sekali gus menolak saman yang dikemukakan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Peguam, T Gunaseelan berkata, hakim menyebut mengenai konteks sejarah di sebalik Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dalam memutuskan bahawa sekolah vernakular adalah mengikut Perlembagaan.

“Hasrat penggubal Perlembagaan Persekutuan adalah mengekalkannya sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan. Hasrat nenek moyang kita ialah kita hidup secara harmoni,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil sebagai pencelah juga memaklumkan, hakim tidak memerintahkan kos kerana ia adalah isu berkepentingan awam.

Difahamkan, plaintif iaitu Presiden i-Guru, Ustaz Mohd Azizee Hasan bercadang untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil bukanlah bagi tujuan rasmi, oleh itu tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain memfailkan rayuan dalam kes keabsahan sekolah vernakular di Mahkamah Rayuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button