Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Serah kepada JHEAIK siasat amalan khurafat di Gunung Jerai

Tidak mahu sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum

SIK, 29 Syawal 1443H, Isnin – Kerajaan Negeri Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) menyiasat sama ada berlaku aktiviti khurafat atau sebaliknya yang berlaku di Gunung Jerai dekat Yan seperti tular melalui media sosial baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya tidak mahu sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum yang amalan mandi di Telaga Tok Syeikh itu sebagai khurafat kerana ia bergantung terhadap niat seseorang individu itu berbuat demikian.

“Mandi tak khurafat, mandi ok saja macam mandi di Telaga Tok Syeikh sama macam mandi di rumah dan air terjun. Sama saja yang mana dua-duanya guna air, niat itu apa, kalau saja aku mandi ka, mandi saja-saja ka, dua-dua itu boleh.

Ada orang yang naik meratib, naik bertapa, ada orang naik (untuk) rekreasi, ada orang anggap air telaga ini boleh buat ubat…jadi saya serah kepada pihak berkuasa untuk siasat benda-benda macam ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Klip video yang berdurasi selama satu minit itu antara lain memaparkan amalan mandi dan berwuduk di Telaga Tok Syeikh sebelum mereka dipercayai menaiki gunung itu untuk melakukan ritual seterusnya.

Muhammad Sanusi berkata aktiviti yang bertentangan dengan syariat Islam tidak semestinya berlaku di atas Gunung Jerai sahaja malah kemungkaran yang berlaku “di bawah” lebih banyak.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri terpaksa menangguhkan kerja membaik pulih saluran paip dasar laut yang bocor membabitkan peruntukan RM50 juta sehingga pengauditan integriti saluran paip itu selesai.

Katanya audit itu perlu dilakukan untuk memastikan kerja baik pulih saluran paip dasar laut dari tanah besar ke Langkawi tersebut akan lebih efisien selain mengelakkan daripada berlakunya kebocoran baharu.

“Jika kita tidak menjalankan audit integriti pada saluran paip, terdapat risiko tekanan air yang kuat akan menyebabkan kebocoran baharu pada saluran paip. Jadi, kita perlu menjalankan audit terlebih dahulu supaya kita boleh yakin saluran paip ini selamat untuk kerja pembaikan, jika tidak kita akan membazir RM50 juta yang dibelanjakan untuk membaik pulih 23 lubang sedia ada di sepanjang saluran paip itu,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri sudah memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan audit itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button