Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Sudan tarik balik perintah darurat sejak rampasan kuasa

Pegawai tentera syor individu ditahan dibebaskan

KHARTOUM, 29 Syawal 1443H, Isnin – Ketua tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan menarik balik darurat yang diisytiharkan sejak rampasan kuasa tahun lalu, kata Majlis Kedaulatan Sudan.

Menurut AFP, Burhan mengeluarkan dekri menarik balik pelaksanaan darurat di seluruh negara.

Perintah itu dibuat untuk menyediakan suasana bagi dialog yang bermanfaat dan bermakna untuk mencapai kestabilan dalam tempoh peralihan, katanya.

Keputusan Ahad itu dibuat selepas mesyuarat dengan pegawai kanan tentera mengesyorkan, pelaksanaan darurat ditarik balik dan individu yang ditahan di bawah undang-undang darurat dibebaskan.

Ia juga dibuat selepas gesaan terbaharu oleh Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Perthes untuk menghapuskan perintah darurat, berikutan pembunuhan dua penunjuk perasaan ketika protes antirampasan kuasa pada Sabtu.

Menurut pegawai perubatan prodemokrasi, Sudan digegarkan oleh protes besar-besaran sejak rampasan kuasa, yang dipenuhi tindakan keras menyebabkan hampir 100 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.

Ratusan aktivis juga ditahan dalam sekatan di bawah undang-undang darurat.

Pada Ahad, pegawai tentera mengesyorkan bagi membenarkan unit TV langsung rangkaian Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar untuk menyambung semula operasi di Sudan, selepas pihak berkuasa melarangnya pada Januari kerana membuat liputan protes ‘tidak profesional’.

Sudan dilanda pergolakan semakin teruk sejak Burhan mengetuai rampasan kuasa 25 Oktober, membatalkan peralihan yang rapuh berikutan penggulingan Presiden Omar al-Bashir pada 2019.

Pengambilalihan tentera mencetuskan kecaman antarabangsa yang meluas dan bertindak menghukum termasuk pemotongan bantuan penting oleh kerajaan Barat sementara menunggu peralihan kepada pemerintahan awam disambung semula. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button