Berita Utama

Bekalan ayam kurang tiada kaitan sorok atau sabotaj

Harap beli ikut keperluan, jangan simpan stok berlebihan

BANGI, 30 Syawal 1443H, Selasa – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor tidak menafikan berlakunya kekurangan bekalan ayam, namun ia hanya bersifat sementara dan bukan berpunca daripada elemen sorok atau sabotaj.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, peralihan ke fasa endemik, sambutan Aidilfitri serta pembelian panik susulan satu kenyataan akan berlaku ketiadaan bekalan ayam pada 20 hingga 22 Mei lalu, antara punca kekurangan bekalan di negeri itu.

Katanya, selepas tular mengenai isu ketiadaan bekalan ayam, pihaknya mengadakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap 80 hingga 120 premis setiap hari.

Pihaknya mendapati hanya lima ke 10 peratus premis yang tidak dapat menjual ayam.

“Setakat ini, sepanjang pemeriksaan yang kita jalankan, tiada elemen sorok dan sabotaj berlaku di semua peringkat sama ada penternak pemborong dan peruncit.

“Kita sedia maklum ayam tidak boleh disimpan dan pelihara lama dan penternak akan tanggung kos yang lebih tinggi sekiranya mereka menyimpan stok ayam,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Beliau berkata, bekalan ayam di Selangor kini semakin pulih justeru berharap pengguna membeli mengikut keperluan serta tidak membuat pembelian panik dengan menyimpan stok yang berlebihan dari keperluan.

Katanya, trend harga runcit ayam standard di pasar awam dan pasar basah utama di negeri ini pada tahap terkawal iaitu RM8.90 per kilogram.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa buah pasar yang menjual melebihi harga maksimum iaitu antara RM10 hingga RM11.50 per kilogram.

“Berdasarkan rekod pemeriksaan sejak 5 Februari hingga hari ini, hanya 12 premis sahaja didapati tidak patuh dan menjual melebihi harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button