Berita UtamaDunia

Kanada laksana undang-undang larang jual, beli pistol

Justin Trudeau tegaskan keganasan senjata api semakin meningkat

OTTAWA, 30 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Kanada memperkenalkan undang-undang membeku penjualan dan pembelian pistol sebagai sebahagian usaha mengawal penggunaan senjata di negara itu. 

Perundangan baharu itu dibangkitkan semula selepas ditangguh tahun lalu di tengah-tengah pilihan raya kebangsaan – seminggu selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru di dalam bilik darjah mereka di Uvalde, Texas.

Perdana Menteri, Justin Trudeau memberitahu pemberita bahawa langkah baharu itu diperlukan memandangkan keganasan senjata api semakin meningkat.

“Kita perlu melihat ke selatan sempadan, sekiranya tidak mengambil tindakan tegas, ia akan menjadi lebih teruk dan lebih sukar untuk dilawan,” katanya.

Larangan memiliki pistol dikecualikan kepada penembak sukan elit, atlet Olimpik dan pengawal keselamatan. Warga Kanada yang sudah memiliki pistol dibenarkan menyimpannya.

Kanada mempunyai undang-undang senjata api yang lebih kuat daripada Amerika Syarikat.

Walaupun kadar pembunuhan senjata api kurang daripada satu perlima kadar AS, ia lebih tinggi daripada negara kaya lain dan telah meningkat.  

Pada 2020 ia adalah lima kali ganda kadar Australia.

Kadar pada setiap tahun 2020 dan 2017 adalah yang tertinggi sejak 1997, menurut Statistik Kanada.

Kanada mengharamkan penjualan dan penggunaan kira-kira 1,500 model senjata serangan, seperti senapang AR-15, dua tahun lalu susulan kejadian tembakan besar-besaran di Portapique, Nova Scotia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button