Berita Utama

MB Perak saran rakyat tanam sayur, ternak ayam untuk kegunaan sendiri

Inisiatif kurangkan bebanan kos sara hidup

GOPENG, 30 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Negeri Perak menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.

“Sayur-sayuran boleh ditanam manakala kambing, lembu, kerbau dan ayam boleh diternak untuk kegunaan sendiri serta boleh dijual sekiranya bekalan itu berlebihan.

“Sebab itu saya kempen di merata tempat supaya apa yang kita hendak makan, kita tanam dan ternak sendiri supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari luar,” katanya kepada pemberita pada Program Agrofest Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SADC, Yahanis Yahya di The Treasure Taman Herba Gopeng hari ini.

Beliau juga berkata, bagi memperkasa bidang sekuriti makanan, SADC dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Perak akan membangunkan Projek Taman Agroteknologi Manong di Kuala Kangsar di kawasan seluas 40 hektar yang telah diluluskan pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu pada April lepas.

“SADC juga telah memulakan projek Hab Halal Perak bagi mengukuhkan lagi bidang sekuriti makanan. Malah ia dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan sekali gus membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan penjanaan ekonomi rakyat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button