Berita Utama

Pemilihan PKR didakwa tak telus, dimanipulasi

Gesa audit forensik terhadap pemilihan parti dilakukan

 

KUALA LUMPUR, 30 Syawal 1443H, Selasa – Keputusan tidak rasmi pemilihan PKR perlu diaudit kerana terdapat banyak aduan dan bantahan daripada calon yang mendakwa ia telah ‘dimanipulasi’, kata Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Farhash adalah bekas pembantu presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem pengundian dalam talian juga telah mendedahkan mekanisme yang cacat yang menimbulkan persoalan mengenai ketelusan.

Justeru, keputusan akan dibuat dalam tempoh seminggu oleh JPP PKR jika audit forensik pemilihan parti baru-baru ini diperlukan.

Ketua JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau sedang berkomunikasi dengan Farhash berhubung aduannya mengenai keputusan pilihan raya tidak rasmi.

“Mereka meminta audit forensik dan itu adil bagi saya. Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk menunjukkan integriti kita.

“Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, ketika ini sedang melihat beberapa perkara lagi, seperti aduan.

“Kita akan buat keputusan dalam seminggu,” kata Dr Zaliha seperti dilapor akhbar tempatan.

Terdahulu, Farhash mengulangi gesaan untuk audit forensik dilaksanakan terhadap keputusan tidak rasmi pemilihan PKR, mendakwa terdapat banyak aduan dan bantahan daripada calon.

Farhash mendakwa keputusan itu dimanipulasi kerana proses pengiraan undi berlaku tanpa kehadiran pihak ketiga atau wakil calon.

Keputusan rasmi pemilihan parti akan diumumkan pada kongres PKR pada 25 dan 26 Jun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button