Berita Utama

Syor anggota Suruhanjaya Patuh Syariah babitkan NGO, pakar

Semak semula Akta Halal yang dilihat tidak efektif

BANGI, 30 Syawal 1443H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyambut baik cadangan kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Patuh Syariah sebagai badan memantau industri halal dalam negara.

Isu halal sudah menjadi kebimbangan utama umat Islam, lebih-lebih lagi apabila status sesuatu makanan atau barangan dipersoalkan.

Atas dasar itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menyarankan keanggotaan suruhanjaya lebih menyeluruh membabitkan pemain utama makanan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di samping pakar makanan dan perubatan.

“Bidang tugas suruhanjaya perlu menyemak kembali Akta Halal yang dilihat tidak efektif. Begitu juga peranan agensi-agensi yang ada dari keberkesanan pelaksanaannya.

“Laporan yang dibuat perlu dikongsikan dengan rakyat agar ia lebih ‘transparent’ dan berintergriti,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kawal selia pelbagai sektor ekonomi halal dalam negara secara lebih komprehensif boleh disatukan melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

Beliau berkata, pada masa ini cadangan kawal selia sedia ada terhad kepada sektor kewangan Islam melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula mengawal selia industri halal.

Oleh itu katanya, kawal selia secara lebih komprehensif boleh disatukan misalnya melalui penubuhan Suruhanjaya Patuh Syariah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button