Berita Utama

Kertas siasatan kanak-kanak dilanggar bas sekolah dirujuk ke DPP

Polis sedang tunggu laporan bedah siasat mangsa dan Puspakom

PUTRAJAYA, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Kertas siasatan berhubung kes kemalangan maut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang dekat sini baru-baru ini, akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohamad ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya perlu melengkapkan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyerahkan kertas siasatan itu kepada DPP.

Menurutnya, polis ketika ini sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa dan laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), serta akan merakam percakapan kakak serta waris secepat mungkin memandangkan keluarga mangsa kini dalam tempoh kuarantin COVID-19.

“Apabila semua proses ini selesai, kita rujuk kepada DPP secepat mungkin,” katanya.

Pada 26 Mei lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun empat bulan maut selepas dilanggar sebuah bas sekolah di hadapan rumahnya di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa dipercayai dilanggar ketika mengekori kakaknya yang keluar dari rumah untuk menaiki bas itu dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari.

Pemandu bas lelaki berumur 50 tahun kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan dan beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas memberi keterangan, kata Wan Kamarul Azran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button