Berita UtamaDunia

PM Australia lantik 2 menteri beragama Islam dalam Kabinet baharu

Lakar sejarah dengan pelantikan ramai wanita termasuk Orang Asli

CANBERRA, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mencipta rekod tersendiri apabila melantik 10 menteri wanita dalam Kabinet termasuk pelantikan dua menteri  beragama Islam.

Menteri Industri dan Sains, Ed Husic dan Menteri Belia dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Anne Aly muncul sebagai menteri Islam pertama Australia dalam majlis angkat sumpah yang berlangsung di sini, hari ini.

Manakala, Linda Burney pula menjadi wanita Orang Asli pertama memikul tanggungjawab sebagai Menteri Orang Asli Australia.

Husic, 52, dari barat Sydney mendapat pendidikan di Sekolah Awam Blacktown South, Sekolah Tinggi Mitchell dan Universiti Western Sydney dilantik sebagai Ahli Parlimen Chifley dari Parti Buruh pada 2010.

Beliau aktif dalam kesatuan pekerja serta berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, infrastruktur dan kesihatan.

Aly pula Ahli Parlimen Cowan adalah ahli akademik yang pakar dalam bidang memerangi keganasan dan pernah menjadi pensyarah di Edith Cowan University dan Curtin University.

Dengan pelantikan itu menjadikan jumlah keseluruhan Kabinet di bawah terajui Albanese seramai 23 orang, lebih tujuh orang berbanding Kabinet diketuai Scott Morrison sebelum ini.

Sebelum ini, Albanese membentuk Kabinet sementara termasuk empat anggota penting lain, dua hari selepas pilihan raya pada 21 Mei lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button