Berita Utama

Bekalan ubat utama di klinik swasta dan farmasi berkurangan

Perdim jangka isu akan berterusan sehingga hujung tahun

BANGI, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Beberapa ubat utama yang sering digunakan kepada pesakit kini dilaporkan mengalami kekurangan bekalan dan agak sukar didapati terutama di klinik-klinik swasta dan farmasi.

Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Boi Saidi Abd Razak berkata, ketiadaan ubatan berpunca daripada pembekal dari dalam dan luar negara yang gagal menyediakan bekalan seperti yang ditetapkan.

“Keadaan ini sangat membimbangkan selepas pihak pembekal dari luar negara gagal menghantar mengikut waktu yang ditetapkan berikutan kekurangan bekalan bahan mentah.

“Jika berlanjutan dalam jangka masa panjang, ia akan menjejaskan bekalan dan sekali gus memberi kesan kepada klinik dan juga pesakit,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Boi menjelaskan keadaan ini dijangka berlanjutan sehingga hujung tahun ini.

Katanya, ubat yang sering digunakan seperti ubat antibiotik, paracetemol, batuk dan Buscopan yang khusus untuk merawat sakit perut.

“Semua ini adalah ubat yang wajib ada di setiap klinik dan mendapat permintaan tinggi setiap hari,” katanya.

Atas sebab itu, klinik swasta kini terpaksa menghadkan preskripsi ubat kepada pesakit bagi mengelakkan terputus bekalan.

Justeru bagi mengelak keadaan berterusan, Perdim menggesa pihak berkuasa campur tangan supaya masalah ini tidak berterusan.

“Kekurangan bekalan ubat ini boleh ditangani sekiranya pihak berkuasa bertindak lebih awal dan mungkin juga mendapat bekalan dari negara-negara lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button