Dunia

Eropah kini pusat wabak cacar monyet terbesar: WHO

Banyak kes dilaporkan berkait kes pasangan seksual sejenis

GENEVA, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa wilayah Eropah adalah pusat wabak cacar monyet terbesar dan paling meluas secara geografi yang dilaporkan di luar kawasan endemik di Afrika barat serta tengah.

WHO Wilayah Eropah menggesa supaya tindakan yang diterajui serantau, negara dan komuniti dipercepatkan untuk menghentikan penyebaran penyakit itu.

Pengarah WHO wilayah Eropah, Hans Kluge berkata, potensi penularan meluas di Eropah dan tempat lain sepanjang musim panas adalah tinggi.

Katanya, wabak cacar monyet telah merebak melalui latar belakang beberapa perhimpunan besar-besaran di rantau itu.

Kluge berkata, WHO berhasrat untuk membendung wabak itu dengan menghentikan penularan dari manusia ke manusia pada tahap semaksimum mungkin.

“Berdasarkan laporan setakat ini, wabak ini kini ditularkan melalui rangkaian sosial yang dihubung sebahagian besarnya melalui aktiviti seksual terutama membabitkan hubungan sejenis golongan lelaki.

“Banyak, tetapi bukan semua kes melaporkan pasangan seksual sejenis dan ada juga dikaitkan dengan acara atau parti besar,” kata Kluge.

Sehingga 26 Mei, sebanyak 257 kes yang disahkan oleh makmal dan kira-kira 120 kes disyaki telah dilaporkan kepada WHO di seluruh dunia, namun tiada kematian direkodkan.

Daripada jumlah itu, 218 telah disahkan di rantau Eropah, dengan 106 jumlah tertinggi di United Kingdom (UK), diikuti Kanada (26 kes) dan Amerika Syarikat (10 kes). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button