Berita Utama

HFMD: 251 tadika, taska di Selangor ditutup

18,525 kes dilaporkan setakat 31 Mei melebihi paras amaran

BANGI, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Sebanyak 18,525 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah didaftar dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran di negeri Selangor setakat semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pada ME 21, sebanyak 4,884 kes telah dilaporkan iaitu peningkatan dua peratus berbanding minggu sebelumnya 4,776 kes.

Beliau berkata, daerah Petaling melaporkan kes tertinggi iaitu 6,111 (34 peratus) diikuti Hulu Langat (2,965) dan Gombak (2,537 kes).

“Pada masa yang sama, terdapat 182 kluster HFMD telah dilaporkan di dalam sistem e wabak yang melibatkan 774 kes yang mana 83 peratus daripadanya merupakan kluster di taska/tadika serta pusat jagaan harian.

“Tiada kematian dilaporkan. Majoriti kes menerima rawatan sebagai pesakit luar iaitu sebanyak 97 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, peningkatan kes HFMD dilihat memberi kesan kepada pelbagai pihak terutamanya pengusaha taska/tadika dan juga ibu bapa.

Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah giat mengadakan sesi libat urus bersama jabatan-jabatan yang terlibat seperti Jabatan Pendidikan Selangor serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 251 tadika, taska dan pusat jagaan yang berwabak telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, manakala 24 premis ditutup secara sukarela.

“JKNS juga ingin menasihati ibu bapa atau penjaga agar sentiasa cakna dengan gejala awal penyakit HFMD dan tidak membawa anak yang sakit atau bergejala ke tempat-tempat awam terutamanya sekolah/taska/tadika/ pusat asuhan.

“JKNS akan terus memantau situasi HFMD di Selangor dan akan bekerjasama dengan berkaitan bagi memastikan tindakan pencegahan dan kawalan HFMD dilaksanakan dengan segera perebakan jangkitan dapat dibendung,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button