Berita Utama

Jangan hina perjuangan martabat bahasa Melayu

Negara sudah hampir pinggir bahasa Melayu melalui beberapa polisi tanpa sedar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik dan ilmu tidak boleh dipandang dihina, sebaliknya perlu ditumpukan sebagai usaha murni yang memerlukan langkah dan strategi tepat.

Langkah itu perlu kerana negara sudah hampir meminggirkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda melalui beberapa polisi tanpa sedar sejak negara merdeka.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, sekiranya bukan kita yang memperjuangkan bahasa kebangaan, siapa lagi yang harus dipertanggungjawab.

“Jadi, teruskan dengan strategi yang tepat tapi jangan sesekali hina perjuangan mereka.

“Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan perlu diberikan ruang sebagai bahasa ilmu, namun sekiranya ada yang tidak bersetuju jangan pula ada cubaan menakut-nakutkan – sehingga boleh menyebabkan negara kita ranap, dek kerana usaha memartabatkan bahasa Melayu,” katanya kepada Ismaweb,net. hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fauzi berkata, selain memerlukan penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu di pelbagai peringkat, usaha memartabatkan bahasa Melayu di dalam hati warganegara juga perlu ditekankan.

“Kedudukan sekolah vernakular sebagai contoh adalah antara isu yang perlu diselesaikan.

“Polisi-polisi seperti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan seumpamanya tidak harus berulang lagi,” katanya.

Beliau pada masa sama mengagumi langkah kerajaan Sepanyol yang cekal memartabatkan bahasa kebangsaan secara meluas.

Kesungguhan tersebut boleh dilihat melalui stesen televisyen yang mengalih suara dengan menukar filem dan drama dalam bahasa Inggeris dari luar negara kepada bahasa ibunda mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button