Berita Utama

Kartel Ayam: Siasatan di peringkat akhir

Saksi dalam kalangan penternak telah dipanggil bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 1 Zulkaedah 1443H, Rabu – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini di peringkat akhir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan kartel yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran bekalan ayam di dalam negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, beberapa saksi dalam kalangan penternak dan ‘integrator’ turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini MyCC sedang menyiasat keterlibatan kartel dalam (mengawal) harga ayam ini dan laporan lengkap dijangka dibentangkan dalam bulan Jun ini, sama ada betul atau tidak kita lihat berdasarkan hasil itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jendela Fikir bertajuk ‘Larangan Eksport Tepung Gandum India Jejas Bekalan Tempatan?’, terbitan Bernama Radio,hari ini.

MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan atau dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

Sementara itu, Rosol berkata, keputusan mengenai pelanjutan subsidi RM1.40 bagi sekilogram ayam yang dijadual tamat pada Ahad ini (5 Jun) akan dimuktamadkan oleh Kabinet hari ini.

“Kita ada beberapa cadangan berkaitan dengan hal tersebut dan hari ini mesyuarat akan tentukan sama ada nak teruskan, nak hentikan atau yang ketiga terus tapi dengan sedikit peningkatan. Mungkin Kabinet ada cadangan lain jadi keputusan bergantung kepada Kabinet,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button